Laman Utama

Sunday, May 9, 2010

Tanaman Dokong

PENANAMAN:
DUKU-LANGSAT,DOKONG DAN DUKU TERENGGANU





DUKU LANGSAT

Duku-langsat ialah hasil kacukan semulajadi di antara duku dan langsat. Di Malaysia, pokok ini hanya tumbuh di beberapa kawasan di Terengganu terutama sekali di tebing-tebing Sungai Terengganu dan Sungai Telemong dalam daerah Kuala Terengganu. Pokok-pokok yang ada merupakan warisan dan generasi yang terdahulu sejak seratus tahun yang lalu.

Rupa bentuk dan warnanya sama seperti langsat, cuma kulitnya tebal sedikit, tidak bergetah dan rasanya manis. Di Terengganu, buah ini dikenali sebagai 'duku' tetapi ini tidaklah tepat.

Jenis
Oleh kerana duku-langsat membiak melalui biji benih, maka terdapat berbagai-bagai perbezaan daripada segi bentuk, jenis dan beberapa ciri yang lain. Walau bagaimanapun, jenis-jenis duku-langsat ini mempunyai ciri-ciri yang agak sama dan rasanya manis. Kelon-kelon yang telah didaftar oleh Jabatan Pertanian ialah Du1, Du2, Du3, Du4 dan Du5.

Iklim
Duku-langsat memerlukan iklim tropika iaitu panas dan lembab di sepanjang tahun. Ia tahan pada cuaca kering dan musim hujan yang biasa berlaku di Terengganu.

Tanah
Pokok ini tumbuh dengan subur di kawasan yang berhampiran dengan sungai. Duku-langsat sesuai ditanam di tanah yang berpasir, mempunyai saliran yang baik dan berkeadaan lembab. Pertumbuhannya kurang subur di tanah yang menakung air dan mempunyai paras air yang tinggi.

Cara Menanam

Membiak:
Pembiakan tampang bagi duku-langsat belum lagi diamalkan secara meluas kerana pembiakan begini telah didapati kurang berjaya. Cara yang biasa dilakukan oleh petani-petani ialah mengambil anak-anak duku-langsat yang tumbuh sendiri di bawah pokok induk sebagai bahan tanaman. Anak-anak duku-langsat sesuai ditanam di dusun atau ladang setelah berumur dua tahun.


Menanam:
Jarak tanaman yang disyorkan ialah diantara 9.0 - 12.00 meter. Selalunya duku-langsat yang tumbuh sendiri hidup subur di celah-celah pokok lain. Anak-anaknya dibiarkan tumbuh di bawah pokok-pokok yang matang. Purata jarak di antara pokok yang telah matang dianggarkan sejauh 4.5 meter.

Penjagaan

Naungan:
Pokok ini memerlukan keadaan yang redup, sejuk dan lembab di sepanjang masa. Di Terengganu, duku-langsat tumbuh diantara pokok buah-buahan lain yang memberi naungan. Di bawahnya pula terdapat semak-samun atau pokok-pokok kecil yang sentiasa menutupi tanah supaya sejuk. Dusun yang kurang dinaungkan akan merendahkan hasil kerana keadaan yang lapang dan terbuka menyebabkan pokok mudah diserang penyakit matirosot.


Membaja:
Mengikut tinjauan yang dibuat, duku-langsat tidak memerlukan penjagaan yang rapi seperti membaja, merumput atau mencantas. Hasil yang tinggi ditentukan oleh tanah yang subur; kawasan yang sesuai dan naungan yang mencukupi. Mungkin pokok-pokok naungan ini membantu memperkayakan baja organan yang terkandung dalam tanah hasil daripada bahan-bahan tumbuhan yang reput. Bahan baja semulajadi ini seterusnya mengurangkan keperluan baja tambahan bagi duku-langsat.

Memungut Hasil:

Pokok duku-langsat biasanya mula berbuah setelah berumur 12 tahun. Duku-langsat berbuah setahun sekali dan kadang-kadang terdapat juga buah di luar musim. Pokok berbunga dalam bulan Jun dan mengambil masa 4 bulan sehingga buah masak. Ini bermakna buah mula dipetik dalam bulan Oktober hingga November. Hasil yang diperolehi dari satu pokok yang berumur 50 tahun ke atas biasanya ialah 240 - 300 kg (4-5 pikul) semusim. Bagi satu pokok buahnya habis di petik dalam masa 2-4 minggu.



Cara Mengutip Hasil:

Waktu mengutip hasil yang paling sesuai ialah di antara pukul sepuluh hingga sebelas pagi dan pukul tiga hingga empat di sebelah petang. Pada waktu-waktu ini, buah-buahnya telah kering dari embun dan cuaca yang redup dapat mengelakkan buah dari pecah. Pemetik buah terpaksa memanjat dan memetik gugusan-gugusan buah. Memetik hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan tampuk buah di dahan-dahan kerana bunga-bunga di musim akan datang akan dikeluarkan di tampuk-tampuk yang sama. Buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bakul atau kain sarung dan dihulur ke bawah dengan tali. Setelah dikumpul, buah yang kurang bermutu atau pecah diasingkan dari buah yang elok dan dimasukkan ke dalam guni-guni untuk dijual kepada peaih atau pemborong.



Pasaran:

Harga duku-langsat bergantung kepada hasil yang diperolehi dan musim buah-buahan yang lain. Jika terdapat banyak buah-buahan lain di pasaran, harganya rendah sedikit. Harga buah yang ditolak kepada peraih-peraih ialah lebih kurang RM90.00 bagi 60.5 kg (1 pikul) sewaktu dalam musim atau RM140.00 bagi 60.5 kg di awal musim. Oleh kerana duku-langssat digemari ramai dan bekalannya pula terhad, buah ini tetap mendapat harga yang memuaskan dan menguntungkan pekebun-pekebun.



Masalah:

Masalah utama yang sering dihadapi oleh tuan-tuan punya dusun duku-langsat ialah kekurangan tenaga untuk memetik buah. Buah-buah yang telah masak mestilah dipetik dengan segera kerana warnanya akan bertukar menjadi perang dan seterusnya hitam dalam masa beberapa hari setelah masak. Buah yang begini kurang bermutu dan rendah harganya. Untuk mengatasi masalah ini, pekebun-pekebun terpaksa mengupah pemetik-pemetik buah untuk mengutip hasil dengan bayaran lebih kurang RM15.00 bagi setiap 60.5 kg buah yang dipetik.



Pengendalian Lepastuai

Sepanjang yang diketahui duku-langsat merupakan sejenis tanaman yang tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi hidup subur dalam keadaan yang sesuai. Namun begitu, penyelidikan selanjutnya seperti pembiakan secara tampang, pengurangan masa yang diambil untuk mula berbuah, penggalakan pengeluaran bunga di luar musim, pengawalan musuh-musuh utama, cara memangkas yang betul dan pembajaaan yang sesuai diamalkan perlulah dijalankan. Dengan cara ini dapatlah bekalan duku-langsat ini memenuhi permintaan pembeli-pembeli yang akan bertambah di masa hadapan.





Duku Langsat (dari kamus bebas wikipedia)

Pokok Duku dari Wikipedia




DOKONG (Lansium domesticum Corr.)



Setakat ini belum ada klon yang disyorkan untuk penanaman. Walau bagaimanapun, pokok dokong kering yang didapati tulen dan bermutu, berhasil tinggi serta mempunyai ciri-ciri rintangan terhadap musuh dan penyakit dikenalpasti untuk mendapatkan biji sebagai sumber benih tanaman.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu dokong kering, dokong air dan dokong biji atau dokong butir. Perbezaan diantara ketiga-tiga adalah seperti berikut:-

Dokong Kering
Ditanam secara komersial kerana buah sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah keset. Buahnya tersusun rapat di tangkai.


Dokong Air
Kandungan air dalam buah jenis ini adalah tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.


Dokong Biji / Dokong Air
Setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah. Buah tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.

Penanaman
Dokong boleh dibiak dengan tiga cara, iaitu anak pokok biji, anak pokok cantuman baji dan keratan.

Penyediaan anak pokok dari biji

Buah dari pokok dokong kering berkualiti yang telah dikenalpasti diambil untuk mendapatkan bijinya. Biasanya sekilo buah akan menghasilkan 4-6 biji yang besar dan bernas. Hanya buah yang besar dan bentuk tidak seimbang sahaja yang ada biji besar dan dipilih sebagai sumber untuk mendapatkan biji.

Biji buah dibuang dan bijinya dibersihkan dan disemai dalam kotak pasir yang telah disediakan lebih awal dan diberi rawatan racun kulat. Biji ditanam sedalam 1 cm dan diletak secara mendatar. Tutup biji-biji ini dengan pasir dan berikan lindungan dari cahaya matahari. Siram 2 kali sehari. Satu biji boleh mengeluarkan lebih dari satu anak pokok. Dalam tempoh 8-10 minggu, anak pokok yang cergas boleh diasingkan dari pokok kecil lain dalam satu biji dan diubah ke polibeg. Anak pokok yang masih kecil boleh disemaikan kembali ke pasir sehingga ia mencapai tahap dua helai daun sebelum diubah ke polibeg. Selepas 8-10 bulan didalam polibeg, anak pokok semaian dokong akan mencapai peringkat umur untuk ditanam, iaitu ketinggian melebih 20 cm dan sekurang-kurangnya 8 helai daun. Untuk mempercepatkan tumbesaran dan mengurangkan tempoh di dalam polibeg ini, semburan dengan baja foliar seminggu sekali adalah disyorkan.


Penyediaan anak benih secara tampang (cantuman baji)

Semua spesies dalam genus Lansium boleh digunakan sebagai pokok penanti. Langsat dan duku Kelantan (duku Dewan) merupakan pokok penanti yang paling sesuai. Pokok penanti berumur 1-2 tahun, mempunyai batang bergaris pusat 6-8 mm serta sihat dan tidak berpenyakit boleh dipilih untuk cantuman baji. Daun pokok penanti dibuang, batangnya dipotong pada paras lebih kurang 10 cm dari paras tanah dan kemudian dibelah tengah sedalam 2 cm dengan menggunakan pisau tajam.

Pucuk dari pokok dokong kering yang terpilih, bergaris pusat 6-8 mm, mempunyai 3-4 mata tunas, panjang antara 15-20 cm dan sekurang-kurangnya dua helai daun hendaklah digunakan. Daun besar boleh dikerat supaya tinggal 1/2 - 1/3 saiz asal untuk mengurangkan perpeluhan. Pucuk yang baik ialah separuh keras. Pangkal pucuk dipotong runcing sepanjang 2 cm berbentuk 'V'. Masukkan ke dalam belahan di pokok penanti. Untuk memastikan kejayaan cantuman, kambium dari pucuk dan pokok penanti mesti bertemu. Tempat cantuman ini diikat dengan tali rafia dengan kuat. Siram air hingga polibeg betul-betul lembab. Tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan kelembapan. Selenggarakan selama 4-6 bulan sebelum ia sesuai ditanam di ladang. (Lihat rajah cantuman baji)


Penyediaan anak benih secara keratan

Dokong boleh dibiak dengan cara keratan, akan tetapi teknik ini belum diamalkan secara meluas. Pucuk-pucuk yang keras dari pokok dokong kering terpilih boleh digunakan. Pilih keratan berukuran lebih kurang 20 cm panjang dan bergaris pusat 6-8 mm mempunyai 2-3 ruas buku dan juga 2-4 helai daun. Keratan dibuat di bawah buku daun 1/2-1/3 bahagian daun-daun dibuang supaya mengurangkan transpirasi dan menjimatkan ruang di dalam kotak pembiakan.

Celup keratan ke dalam lauran 10,000 ppm Indole-Butyric Acid (hormon penggalak akar) selama 15 saat dan seterusnya tanam atas batas atau kotak pasir sungai yang diletak di dalam rumah pembab kabus. Rumah pelembab dan pasir perlu sentiasa basah dan lembab. Selaps 70 hari, keratan yang berakar boleh diubah ke ladang. Polibeg ini disimpan dalam rumah pelembab selama 2 minggu sebelum dipindahkan ke rumah teduhan biasa. Selepas 3-4 bulan, pokok keratan akan mengeluarkan pucuk serta daun baru dan boleh ditanam di ladang. Oleh kerana pokok keratan ini tidak mempunyai akar tunjang, penanaman dalam sistem kepadatan tinggi disyorkan.



Penanaman di ladang



Jarak yang dicadangkan ialah 6m x 6m hingga 10m x 10m. Pada amnya jarak yang disyorkan ialah 7m x 7m dan ia bergantung kepada kesuburan tanah. Lubang berukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m. Tanah lapisan atas diasingkan dengan lapisan bawah dan biar lubang 2-3 minggu untuk didedahkan kepada cahaya matahari. Selepas itu, lubang tersebut dikambus dengan tanah lapisan atas yang telah digaul dengan 200 gm CIRP dan 10 kg. baja organik atau kompos. Ini diikuti dengan tanah lapisan bawah.



Sebelum menanam, pokok dalam polibeg disiram dan polibeg ditanggalkan dengan teliti supaya tidak merosakkan gumpalan tanah dan akar. Pokok ditanam secara tegak dan lubang ditimbus hingga 3 cm dari permukaan tanah polibeg. Tanah di sekeliling pokok dipadatkan dan sungkupan yang terdiri dari sabut, rumput kering dan lain-lain boleh diletakkan di pangkal pokok. Jika anak pokok agak tinggi (lebih dari 0.5m) sokongan menggunakan pancang kayu digunakan untuk mengelakkan pokok tumbang.



Keperluan Lindungan Atau Naungan



Pada tiga tahun pertama penanaman di ladang, pokok dokong memerlukan 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan pisang adalah tanaman lindungan yang sesuai. Tanaman lindungan perlu ditanam sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum dokong ditanam dan jarak antara pokok lindungan dan dokong hendaklah melebih 2.5 meter supaya mengelakkan persaingan.



Pemangkasan



Dalam tempoh 6 bulan diladang, pengurusan pokok lindungan adalah penting untuk memberi naungan yang sesuai dan mengurangkan persaingan. Cabang-cabang yang menganggu pertumbuhan dokong harus dipangkas dan pokok lindungan boleh ditebang secara beransur-ansur mulai tahun ketiga. (Sila lihat panduan memangkas pokok). Klik !

Program Pembajaan

Peringkat
Pertumbuhan Umur (tahun) Jenis Baja Kadar
Kg/pk/thn Masa Membaja
Masa Menanam Pembajaan asas CIRP
Baja Organik 0.2
10.0 Dimasukkan ke dalam lubang tanaman

Tumbesaran 1
2
3
4
5


14:13:19:2
15:15:15 atau
15:15:6:4


dan
Baja Organik
0.5
1.0
2.0
3.0
4.0

10kg
3 bulan sekali terutama pada awal
musim hujan.




Baja Organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok

Buah 6
7
8
9
10
11
12
13
14
15 ke atas

12:12:17:2+TE


12:6:22:3






Baja Organik
6.0
6.0
7.0
7.0
7.0
8.0
8.0
8.0
8.0
9.0

3 kali setahun seperti berikut:-

1/2 bahagian selepas musim buah.
1/4 bahagian 2 bulan sebelum berbunga
1/4 bahagian selepas berputik.





Baja organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok.


Keperluan Air

Umur pokok Keperluan Air
1-2 tahun
8-12 tahun
20-22 tahun -
-
- 9-11 liter/pokok/hari
40-48 liter/pokok/hari
97-116 liter/pokok/hari

Hasil Dokong

Pokok dokong mula berbuah selepas 5-6 tahun ditanam. Di peringkat awal berbuah, anggaran hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m). Dokong mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 14. Anggaran hasil sebanyak 14 tan metrik sehektar.

Penuaian

Penuaian buah dokong dilakukan dengan memotong tangkai buah menggunakan gunting atau pisau. Buah yahg dituai dimasukkan ke dalam baldi plastik dengan cermat bagi mengelakkan buah tercedera. Gunakan tangga sekiranya pokok dokong yang hendak dituai itu tinggi.

Pengendalian Lepastuai

Selepas penuaian, buah dokong perlu dikendalikan dengan baik kerana ini akan menentukan gred, harga dan pasarannya. Pengendalian lepastuai yang kurang baik akan merendahkan gred buah dan seterusnya mengurangkan pendapatan.

Buah yang dituai dimasukkan ke dalam bakul rotan yang dialas dengan bahan-bahan lembut seperti surat khabar lama, Ini penting bagi memastikan buah dokong tidak cedera sebelum dihantar ke tempat penggredan. Penggredan buah dokong dilakukan berdasrkan saiz buah, berat buah setangkai, kebersihan buah dan tiada kesan serangan serangga serta kulat. Penggredan ini dilakukan sebaik sahaja penuaian selesai dijalankan. Pada amnya, buah dokong dibahagikan kepada tiga gred, iaitu:-

Gred Ciri-ciri Harga/Kg
(RM)
A Buah besar (garis pusat > 3 cm)
Buah setangkai lebat.
Kulit bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga. 6.00-8.00
B Buah sederhana. Tangkai pendek dan buah jarang. Bercampur
dengan buah relai. Kulit mungkin berbintik. 4.00-6.00
C Buah relai dari tangkai.
Saiz tak seragam. 3.00-4.00


KEMATANGAN DAN PENGUTIPAN HASIL

Penghasilan Buah

Dengan pengurusan yang baik dan pembajaan yang mencukupi, pokok dokong akan mulai berbuah pada tahun ke 7 selepas ditanam di ladang bagi pokok yang ditanam dari biji dan 5-6 tahun bagi pokok yang ditanam secara anak tampang (tut atau cantuman biji). Hasil pertama adalah rendah dan hanya beberapa kilogram buah dihasilkan pada satu pokok. Hasil akan bertambah selepas itu. Pada tahun ketiga berbuah (umur 10 tahun), pengeluaran mulai meningkat ke tahap 50-100 kg/pokok. Dokong menunjukkan tabiat pengeluaran 'biennialitty' dimana hasil tinggi pada sesuatu tahun akan diikuti dengan hasil yang rendah pada tahun berikutnya. Fenomena ini adalah lebih ketara jika penyelenggaraan dan pembajaan tidak sempurna.

Pokok dokong akan berbunga selepas mengalami satu musim kemarau yang agak panjang. Kemarau yang berterusan selama 3-4 minggu diperlukan oleh pokok dokong untuk merangsang pengeluaran bunga.


Penjarangan Tangkai dan Buah

Apabila pokok dokong berbunga, beberapa tangkai akan keluar dari satu tampok bunga. Jika pokok dokong mengeluarkan banyak tangkai bunga, penjarangan tangkai hendaklah dilakukan. Biasanya 1-3 bunga ditinggalkan di setiap tampok supaya tangkai itu akan menjadi panjang, peratus pelekatan buah ditangkai tinggi dan menghasilkan buah yang besar dan bermutu.


Kematangan Buah

Buah dokong akan masak dalam tempoh 6 bulan. Dalam tempoh itu, buah-buah yang terlalu kecil, yang pecah atau yang diserang oleh kulat atau serangga perlu dibuang supaya ia tidak menjejaskan kualiti buah lain. Peringkat buah dokong masak boleh dilihat mengikut warna kulit, ciri serta tanda-tanda berikut:-

- warna kulit bertukar dari hijau ke kuning atau kuning kelabu.
- isinya menjadi jernih dan rasanya manis (isi buah mentah ialah keputihan).
- buah menjadi lembut apabila dipicit.
- buah masak mudah direlai dari tangkai.
- tiada getah pada kulit buah yang masak.
- buah yang betul-betul masak akan mengambil masa 180-200 hari selepas bunga kembang.


Memungut Hasil

Buah dokong yang dipetik di peringkat yang betul-betul masak akan menjadi dokong yang manis dan bermutu dan seterusnya memberi pulangan yang tinggi. Apabila 75% buah di setiap tangkai masak, tangkai itu boleh dituai. Tangkai buah hendaklah dipotong dengan teliti hingga rapat dengan batang. Jangan rentap atau pulas tangkai buah kerana ini akan merosakkan tampok bunga. Untuk memungut hasil, pemungut hendaklah duduk atau berdiri di atas tangga khas. Ini akan mengurangkan kerosakan tampok bunga di dahan-dahan besar. Tangkai-tangkai buah yang dipotong itu dimasukkan ke dalam baldi yang digantung di sebelah tangga. Apabila baldi diisi penuh dengan tangkai buah dokong, ia diturunkan dengan menggunakan tali.


PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Pengendalian di ladang
Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul buluh atau plastik dan diselenggara dengan cermat. Buah diperiksa bagi mendapatkan kualiti yang serata. Buah-buah yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.


Penggredan
Selepas pengasingan dan pemilihan ini dilakukan, jambah buah dokong boleh digredkan mengikut sistem gred yang diamalkan oleh pengusaha dan pemborong di Negeri Kelantan sekarang.

Gred A -
Saiz buah besar, garispusat melebihi 3 cm, jambak lebat dan panjang. Kulit buah bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga.
Gred B - Saiz buah sederhana, jambak pendek dan buah jarang, bercampur dengan buah yang relai. Kulit buah berbintik.
Gred C - Buah yang relai, saiz bercampur.

Buah dokong yang telah digredkan itu akan dimuatkan ke dalam bakul plastik atau raga buluh. Bakul / raga biasanya dilapis dengan suratkhabar sebelum diisikan dengan jambak buah.


Penyimpanan hasil
Buah dokong yang masak hanya boleh disimpan selama 3-5 hari dalam suhu biasa. Kulitnya akan layu dan menukar ke warna hitam jika tempoh simpanan dilanjutkan. Oleh itu buah dokong perlu dihantarkan ke pasar dan tempat jualan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti. Simpanan di bilik sejuk boleh menyebabkan kulit menjadi hitam dan ini adalah tidak disyorkan.


PENYAKIT DUKU / DOKONG / DUKU LANGSAT

Serangan penyakit juga tidak membahayakan duku-langsat. Diantaranya ialah kulat yang menyebabkan penyakit bintik berpusar (antraknos) pada buah dan penyakit kulapuk.

Buah-buah yang pecah juga merupakan masalah yang agak serius. Walau bagaimanapun, ini bukanlah penyakit tetapi satu faktor fisiologikal, ini biasanya berlaku apabila hujan turun selepas cuaca panas dan kering. Penyerapan air hujan menyebabkan buah menjadi bengkak dan akhirnya pecah oleh sebab ketegangan air di dalamnya. Buah yang pecah kurang bermutu dan tidak mempunyai harga pasaran yang memuaskan.

Penyakit dan Penyebab:

Antraknos (Colletotrichum spp.)
Tompok-tompok kecil pada kulit buah bertukar menjadi warna perang.


Cendawan Angin (Cortium salmonicolor)
Ranting dan dahan pokok yang diserang diselaputi miselium putih bertukar menjadi merah jambu. Daun menjadi kuning dan gugur. Cantas dahan yang diserang.


Kulapuk Hitam (Meliola spp.)
Daun dan buah yang diserang dipenuhi miselia kulat berwarna hitam. Menjejaskan fotosintisis dan kualiti buah. Dikaitkan dengan kehadiran teritip yang mengeluarkan manisan. Sembur white oil untuk mengawal teritip.


MUSUH DAN MAKHLUK PEROSAK

Walaupun terdapat beberapa jenis serangga perosak yang menyerang duku-langsat, kesannya tidaklah serius. Diantaranya ialah 'Pengorek buah' yang bertelur di dalam buah yang muda. Seterusnya larva memakan buah yang sedang membesar dan menyebabkannya gugur. Untuk mengawalnya, bersihkan dusun dari buah-buah yang diserang dan bakar.

Juga terdapat teritip yang menghisap cecair daun. Musuh-musuh seperti tikus, burung, kelawar dan tupai memakan buah yang masak dan mengakibatkan kekurangan hasil. Jika dibiarkan, kesannya mungkin teruk. Kawalan yang biasa diamalkan ialah secara menyalakan api di waktu malam untuk menghalau musuh-musuh tersebut.

Serangga perosask dan cara kawalannya:

Ulat Pengorek Kulit (Puru batang)
Batang, dahan dan daun berkeruping. Terbentuk bintik-bintik kecil berwarna coklat/hitam di peringkat awal. BIntik-bintik membesar menjadi puru, menyerang pokok muda 2-3 tahun apabila serius seluruh batang mempunyai puru. Ini boleh membantut pertumbuhan pokok dan mengurangkan hasil peneluaran.

Tindakan:
Kikis bahagian yang diserang dengan pisau. Pangkas dan seterusnya bakar ranting yang telah mati dan yang teruk diserang. Sembur racun seperti dimethoate jika perlu dengan kadar 0.5% bahan aktif sebulan sekali bagi serangan yang teruk dan 3 bulan sekali apabila serangan beransur pulih.


Ulat Pemakan Daun
Serangan tidak begitu serius. Larva akan memakan pucuk muda dan meninggalkan lapisan kutikal. Daun yang disrang menjadi kering berwarna perang di bahagian tepi daun.

Tindakan:
Jika perlu, sembur racun dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif di peringkat berpucuk.


Lalat Buah
Membuat tusukan pada buah yang sedang masak. Buah akan menjadi berair dan bertukar warna menjadi coklat. Buah rosak dan gugur.

Tindakan:
Guna umpan protin seperti protein hydrolysaste untuk memberi tarikan. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan disembur di kawasan daun. Lalat akan berkerumun di situ dan terus guna methyl-eugenol bagi merangkap lalat. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan diletak di kawasan ladang.


JENIS PENYAKIT DAN KAWALANNYA

Penyakit Reput Buah
Buah menjadi rosak dan reput. Tidak serius tetapi boleh mengurangkan hasil. Guna racun kulat cooper oxychloride di peringkat berbuah dengan kadar 0.1%. Ulangi semburan jika perlu.


Antraknos Buah
Serangan berlaku pada buah. Peringkat awal tompok-tompok kecil terjadi pada kulit buah, bertukar menjadi warna perang. Buah boleh gugur. Serangan tidak begitu serius. Guna cooper oxychloride.


Cendawan Angin
Menyerang ranting dan dahan pokok. Bahagian diserang akan diselaputi Misilium putih bertukar menjadi merah jambu. Jika teruk daun akan menjadi kuning dan gugur. Cantas dahan yang diserang dan sembur pokok dengan cooper oxychloride.


Kulapuk Hitam
Serangan keatas daun dan buah. Bahagian yang diserang dipenuhi mislia kulat berwarna hitam. Menjejas proses fotosintesis jika serangan teruk dan juga kualiti buah. Sembur white oil untuk mengawal teritip. Sembur racun kulat seperti Maneb untuk mengawal kulat.


DUKU TERENGGANU (Lansium domesticum)

Seperti buah dokong, buah duku Terengganu akan bertukar daripada warna hijau ke warna kuning apabila buah mencapai peringkat masak. Walau bagaimanapun, corak kemasakan buah duku Terengganu berlaku tidak serentak dalam satu tangkai. Pada masa kebanyakan buah telah bertukar warna menjadi kuning, masih terdapat buah-buah yang masih hijau. Keadaan ini menimbulkan masalah dalam penuaian.

Peringkat kemasakan duku Terengganu boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut perubahan warna buah iaitu (1) hijau kekuningan; (2) kuning kehijauan; (3) kuning; (4) kuning cerah dan (5) kuning keperangan. Kemanisan buah meningkat dan kemasaman buah menurun apabila buah semakin kuning. Umumnya, buah duku Terengganu sudah boleh dipetik apabila kebanyakan buah pada sesuatu tangkai sudah berwarna kuning, kuning cerah dan kuning keperangan iaitu 15-16 minggu dan tarikh bunga berkembang. Pada ketika itu, buah mengandungi jumlah pepejal terlarut antara 15-18% dan kandungan asid antara 0.2-0.4%.

Penuaian perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak merosakkan buah yang dipetik. Buah hendaklah dipetik seawal-awalnya pada lewat pagi iaitu antara pukul 10.00 atau 11.00 pagi hingga ke tengah hari atau petang untuk mengelakkan buah pecah. Sekiranya buah dipetik pada awal pagi, peratus buah pecah adalah tinggi. Kadangkala dalam keadaan cuaca redup atau hujan pagi, penuaian perlu dilakukan pada lewat tengah hari. Penuaian dilakukan secara memilih iaitu dengan meleraikan buah yang telah kuning sahaja daripada tangkainya dan kemudian masukkannya ke dalam bekas kecil seperti bakul atau karung kain. Buah yang masih hijau ditinggalkan pada tangkainya untuk dipetik kemudian hari. Bagi pokok yang tinggi, pokok perlu dipanjat dan bakul atau karung kain yang telah diisi buah dihulurkan kepada seorang lagi yang menunggu di bawah pokok dengan tali. Buah-buahan ini kemudian dipindahkan ke dalam bakul atau bekas plastik yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan. Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian.

Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari. Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari. Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah dokong bergantung pada kegemaran pengguna. Berdasarkan kajian yang dijalankan di MARDI, buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah. Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%). Walau bagaimanapun kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek. Terdapat jua penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).

Pemetikan buah dokong adalah mudah kerana semua buah dalam satu tangkal masak serentak. Buah dipetik dengan memotong tangkainya menggunakan pisau atau gunting tanpa meleraikan buah daripada tangkai. Buah dalam bentuk jambak dimasukkan ke dalam bekas seperti bakul atau karung kain semasa penuaian dan kemudian dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan. Bagi pokok yang tinggi, penuaian dilakukan dengan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Buah yang diisi ke dalam bakul atau karung kain diturunkan menggunakan tali dan disambut oleh seorang lagi yang menunggu di bawah pokok. Penuaian mesti dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan kecederaan pada buah. Buah dokong digalakkan dipetik selepas pukul 10.00 pagi untuk mengelakkan kejadian buah pecah.

KEMATANGAN BUAH DOKONG / DUKU / DUKU-LANGSAT:

Buah dokong akan berubah warna daripada hijau kepada kuning apabila masak. Perubahan warna kulit daripada hijau ke kekuningan berlaku kira-kira 87 hari selepas bunga kembang. Buahnya masak seragam dalam satu tangkai dan keadaan ini memudahkan proses penuaian. Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian.

Indeks 1 : Setiap buah dalam satu tangkai, sudah menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih kehijauan.
Indeks 2 : Setiap buah pada satu tangkai berwarna kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan pada hujung buah. Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya matahari.
Indeks 3 : Setiap buah dalam satu tangkai berwarna kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah.
Indeks 4 : Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.
Indeks 5 : Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan.
Indeks 6 : Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah pada indeks 5.



PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Pengendalian di Ladang

Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul dan diselenggara dengan cermat. Buah diperiksa bagi mendapat kualiti yang serata. Buah-buahan yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.


Penggredan

Selepas pengasingan dan pemilihan ini dilakukan, jambah buah dokong boleh digredkan mengikut sistem gred yang diamalkan oleh pengusaha dan pemborong seperti berikut:-

Gred A:
Saiz buah besar, garispusat melebihi 3 cm, jambak lebat dan panjang. Kulit buah bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga.

Gred B:
Saiz buah sederhana, jambak pendek dan buah jarang, bercampur dengan buah yang relai. Kulit buah berbintik.

Gred C:
Buah yang relai, saiz bercampur.

Buah yang telah digredkan itu akan dimuatkan ke dalam bakul plastik atau raga buluh. Bakul atau raga dilapis dengan suratkhabar sebelum diisikan dengan jambak buah.


Penyimpanan Hasil

Buah dokong yang masak hanya boleh disimpan selama 3-5 hari dalam suhu biasa. Kulitnya akan layu dan menukar ke warna hitam jika tempoh simpanan dilanjutkan. Oleh itu buah perlu dihantar ke pasar dan tempat jualan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti. Simpanan di blik sejuk boleh menyebabkan kulit menjadi hitam dan ini adalah tidak disyorkan.


MENGAWAL KERUPING KULIT KAYU PADA DUKU TERENGGANU DAN DOKONG
(sumber: Agromedia Bil. 6 1999)

Tanaman ini berhadapan dengan masalah keruping kulit kayu yang menyerang batang, dahan ataupun rantingnya. Keadaan keruping boleh menjadi begitu buruk sehingga merencatkan tumbesaran pokok, mengakibatkan mati rosot dan menjejaskan penghasilan sehinggakan sesetengah pengusaha mengalihkan tumpuan mereka kepada tanaman lain.

Gejala

Gejala keruping boleh berlaku pada anak pokok di tapak semaian dan juga pokok di ladang. Di ladang, pokok muda dan baru matang lebih peka berbanding dengan pokok yang sudah tua. Pada peringkat awal serangan, bintil-bintil bulat kecil berwarna coklat muda kelihatan bertaburan di permukaan batang, dahan ataupun ranting. Apabila kulit kayu semakin matang bintil-bintil ini akan membesar dan menebal menjadi tompok-tompok yang lebih gelap. Tompok-tompok ini membentuk seperti ketuat dan berkeruping. Apabila dikope, keruping ini akan taggal dan mendedahkan bahagian dalam pokok yang hijau dan ulat akan kelihatan. Walau bagaimanapun, kadangkala ulat tidak kelihatan apabila keruping dikopek.

Semakin teruk serangan semakin tebal keruping. Bintil-bintil yang kecil dan akan bercantum antara satu sama lain. Seluruh permukaan batang, dahan dan ranting yang diselaputi oleh keruping akan kelihatan merekah. Tumbesaran pokok akan terencat kerana pokok yang teruk diserang kurang berpucuk. Jika berpucuk pun, pucuk yang keluar pendek dan kelihatan kekuning-kuningan kerana tidak sihat. Ranting kecil yang teruk diserang menjadi kering dan mati. Ini akan menyebabkan mati rosot. Ranting pucuk baru juga akan diserang. Pada peringkat awal serangan, ulat tidak kelihatan. Bagi pokok yang sudah matang, serangan yang teruk akan menjejaskan pembentukan bunga kerana permukaan dahan dan ranting merupakan tapak bunga.

Agen Penyebab

Setakat ini terdapat dua pendapat tentang agen penyebab gejala keruping pada pokok Lansium (duku terengganu dan dokong). Segelintir ahli sains berpendapat bahawa gejala ini disebabkan oleh serangan serangga berdasarkan adanya ulat apabila keruping dikopek. Tetapi ada juga ahli sains yang berpendapat bahawa keruping atau ketuat disebabkan oleh serangan kulat. Kehadiran ulat hanya merupakan serangan sekunder yang memakan tisu-tisu mati dalam bentuk keruping yang diakibatkan oleh kulat. Setakat ini tidak pasti pendapat manakah yang betul.

Kawalan

Pokok yang mendapat penjagaan yang sempurna terutama dari segi pembajaan, naungan dan pengairan lebih tahan terhadap gejala ini. Berdasarkan pemerhatian di stesen penyelidikan MARDI di Jerangau, gejala keruping boleh dikawal dengan lebih berkesan melalui penyemburan racun kulat berkupram. Semburan boleh dibuat dengan menggunakan mana-mana peralatan penyembur sama ada yang bermotor atau tidak bermotor. Yang penting muncung alat penyembur diacukan pada batang, dahan dan ranting-ranting yang diserang. Bahagian yang diserang harus disembur hingga betul-betul basah. Racun berkupram yang telah diuji ialah copper hydroxide serta copper oxychloride dan metallic copper. Pada permulaannya, semburan dibuat setiap 10 hari sebanyak 2-3 kali . Ini diikuti dengan semburan ulangan 2-3 bulan sekali sehingga keruping terhapus. Berdasarkan pengalaman MARDI Jerangau, kadar yang disyorkan bergantung pada tahap serangan.

Kadar penyemburan untuk mengawal keruping


Bahan Kimia Kadar Keadaan Serangan

Copper hydroxide 40 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air
80 gm/18 liter air Sederhana
Sederhana teruk
Teruk
Copper oxychloride 44 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air
80 gm/18 liter air Sederhana
Sederhana teruk
Teruk

Keruping pada pokok yang telah disembur menjadi rapuh dan seterusnya relai dari batang, dahan serta ranting dan jatuh ke tanah. Pokok akan mula berpucuk dan pucuk baru kelihatan sihat dan panjang. Gejala penyakit tidak lagi kelihatan. Penyemburan perlu dibuat secara berterusan. Pokok yang teruk diserang, hanya akan pulih dalam masa 8-10 bulan. Semasa rawatan dijalankan, penggunaan racun serangga tidak digalakkan. Amalan ini bertujuan mengelakkan pembunuhan ulat yang hidup aktif serta memakan keruping (kulit kayu yang mati). Dengan ini, keruping akan relai dengan lebih cepat. Bagaimanapun jika penyemburan racun serangga diperlukan untuk mengawal ulat daun, pastikan racun hanya disembur pada bahagian daun (sumber: Agromedia Bil. 6 1999).

No comments:

Post a Comment