Sunday, May 9, 2010

Tanaman Belimbing

PANDUAN MENANAM BELIMBING
(Tanaman Jangka Panjang)


PENGENALAN

Nama Saintifik
Nama Tempatan
Famili : Averrhoae Carambole L.
: Belimbing Besi
: Oxalidaceae

Belimbing berasal dari gugusan pulau-pulau Asia Tenggara. Buah belimbing mengandungi vitamin A dan C yang tinggi dan komposisi nutrien lain ialah tenaga, protin, lemak, serabut dan mineral (Ca, Fe).

PENANAMAN DAN KESESUAIAN TANAH:

Belimbing boleh ditanam di atas berbagai jenis tanah iaitu dari tanah liat hinggalah ke tanah berpasir. Belimbing adalah sejenis tanaman yang tumbuh dengan cepat dan memerlukan kelembapan yang mencukupi sepanjang tahun untuk hidup subur. Kebanyakan penanaman belimbing di kawasan lombong menggunakan sistem pengairan renjis untuk memberikan kelembapan pada tanah dan kos penggunaan sistem ini hendaklah diambilkira yang mana lebih tinggi jika dibandingkan dengan penanaman di kawasan selain daripada kawasan lembap

Belimbing ditanam dengan jarak 0.5 m x 0.5 m hingga 0.7 m x 0.7 m bergantung kepada jenis yang hendak ditanam. Saiz lubang tanaman berukuran 60 x 60 x 60 cm dan dicampurkan dengan 10 kg. tahi ayam dan 200 gm CIRP bagi setiap lubang. Kayu pancang digunakan untuk menyokong tanaman semasa peringkat awal pertumbuhan.

VARIETI / KULTIVAR YANG DISYORKAN

B2
Berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan didaftarkan pada tahun 1966. Dikenali dengan nama MAHA 66. Buahnya berbentuk bujur, bersaiz sederhana besar (160-220 gm sebiji) dan berukuran diantara 13-15 cm panjang. Buah berwarna kuning kehijauan dan berubah kepada kuning pucat apabila matang. Isinya manis dan berair, tekstur isinya halus dan tidak bersabut, rasanya tidak kelat tetapi kualiti penyimpanannya rendah. Pengeluaran hasil adalah tinggi. Bunga belimbing mempunyai benang sari yang panjang dan klon ini digunakan sebagai pendebunga kepada pokok-pokok klon B10 dan B17 untuk meningkatkan hasil buah.


B10
Berasal dari Serdang Baru, Selangor dan didaftarkan pada tahun 1968. Merupakan klon paling popular dan ditanam secara besar-besaran. Berat buah ialah 180-250 gm sebiji, berbentuk bujur iaitu besar di bahagian pangkal dan kecil di bahagian hujung buah. Kadangkala, ukuran buah melebihi 15 cm panjang. Kulit buah licin dan berkilat. Buah masak berwarna oren atau kemerah-merahan. Isinya manis dan berair, tekstur isinya rapuh, bersabut sedikit dan beraroma. Pengeluaran hasilnya tinggi.


B17
Berasal dari Triang, Pahang. Popular dengan nama Belimbing Madu dan didaftarkan pada 14 Januari 1988. Buah berbentuk bujur panjang dengan ukuran diantara 10-15 cm panjang. Tangkai buahnya besar, hujung buah lekuk ke dalam. Berat buah adalah diantara 200-300 gm sebiji. Bahagian tepi seginya masih berwarna hijau walaupun buah telah masak. Buah masak berwarna oren dan berbintik-bintik putih di tepi segi. Tekstur isinya rapuh, pejal dan sederhana halus. Rasanya sangat manis dan berbau harum.

Pengkelasan klon belimbing mengikut jenis benang sari

Benang Sari
Klon

Jenis Pendek B3, B4, B8, B9, B10, B13, B14, B17
Jenis Panjang B1, B2, B5, B26, B7, B11, B12, B15, B16, B18, B19


Belimbing dari jenis benangsari pendek memerlukan pendebungaan silang dari jenis benangsari panjang. Proses ini diperlukan untuk menggalakkan pembentukan buah yang seragam. Kegiatan serangga seperti lebah akan menyeragamkan bentuk buah dan meningkatkan lagi pembentukan buah.

PENYEDIAAN BAHAN TANAMAN

Menggunakan bahan tanaman dari baka klonal yang dibiak secara vegetatif. Pokok penanti disediakan dengan menyemai biji benih yang matang. Biji diproses dengan membasuh dan mengeringkan sebelum di semai. Biji benih mula bercambah 4-5 minggu selepas disemai. Anak benih yang subur berumur sebulan dipindahkan ke dalam polibeg yang diisi dengan tanah campuran dengan kadar 3:2:2 (tanah:pasir:bahan organan). Anak benih disusun di bawah lindungan yang mempunyai sekurang-kurangnya 50% teduhan. Racun serangga dan kulat disembur jika perlu untuk mengawal serangga dan penyakit. Baja sebatian NPK (15:15:15) pada kadar 30 gm bagi setiap anak pokok diberi dua bulan sekali.

Pokok penanti yang berumur antara 5-6 bulan (tinggi 20 cm) adalah sesuai untuk dibuat cantuman mata tunas. (lihat proses cantuman pokok di sini) ! Torehan melintang 0.5 cm dan torehan ke bawah 3 cm, di paras 5 cm dari tanah, dibuat pada pokok penanti. Mata tunas dari pokok induk disediakan dengan saiz yang agak kecil sedikit dari tapak torehan pokok penanti. Mata tunas yang sudah dipisahkan dari kayu diselitkan ke dalam kelopak kulit torehan pokok penanti. Ianya dibalut degan pita plastik cantuman dengan kemas supaya kedua-dua kambium mata tunas dan tapak torehan bersentuhan. Selepas 3 minggu pita cantuman dibuka. Penilaian kejayaan ditentukan dengan kehijauan mata tunas. Mata tunas yang aktif akan bercambah dan tumbuh dengan segar. Pokok-pokok penanti dipotong pada para 3-4 cm dari tempat cantuman dan pertumbuhan tunas. Selepas 4-5 bulan pada ketinggian 25 cm pokok cantuman yang subur dapat dipindahkan ke ladang.

SISTEM PENANAMAN

Boleh menggunakan samada sistem penanaman empat segi tepat, sistem empat segi sama atau sistem tiga segi sama. (lihat sistem tanaman tiga segi dan empat segi). Belimbing yang ditanam secara komersil sebaik-baiknya mengamal konsep tanaman tunggal supaya kerja-kerja pengurusan dapat dijalankan dengan sempurna. Penanaman klon komersil dan klon pendebunga dengan kadar 5:1 (5 pokok klon komersil dan 1 pokok klon pendebunga) adalah digalakkan.

Selain daripada mempunyai sistem seperti di atas, pokok belimbing klon komersil boleh juga dicantum dengan klon pendebunga pada dahannya. Dengan ini setiap pokok komersil mempunyai klon debunga di atasnya untuk membantu proses pendebungaan.

PENANAMAN DI LADANG

Selepas seminggu, anak-anak pokok cantuman yang terpilih diubah ke ladang. Anak-anak pokok diletakkan di tengah-tengah lubang setelah polibeg dipotong dan dibuang. Boleh ditanam pada jarak 4.5-6.0 m bergantung kepada klon yang dipilih dan jenis tanah. Jarak penanaman yang sesuai ialah 6m x 6m (278 pokok/ha.), sementara di tanah bekas lombong jarak 4.6 m x 4.6 m (480 pokok/ha) boleh digunakan kerana pertumbuhan pokok di tanah jenis ini tidak begitu besar berbanding dengan keadaan tanah mineral. Pengusaha boleh menggunakan sistem kepadatan tinggi dengan jarak 4 m x 6 m (417 pokok/ha) bagi tanah mineral. Kayu sokongan yang berukuran 1 meter tinggi perlu dipacak pada setiap anak pokok untuk mendapatkan pertumbuhan tegak pada batang utama.

Pembajaan:

Seperti jadual di bawah:-

Kadar penggunaan baja

Umur Jenis Baja Masa (kekerapan)
1 tahun
NPK 14:14:14 (1.8 kg) + tahi ayam (2.0 kg)
3-4 kali setahun
2 tahun NPK 12:12:17:2 (3.6kg )+ tahi ayam (15 kg)
3-5 kali setahun selepas kutip hasil
3 tahun NPK 12:12:17:2 (7.3 kg) + tahi ayam (15 kg)
3-5 kali setahun selepas kutip hasil
4 tahun NPK 12:12:17:2 (11.4 kg)+ tahi ayam (20 kg) 3-5 kali setahun selepas kutip hasil
5 tahun NPK 12:12:17:2 (18.2 kg) + tahi ayam (20 kg) 3-5 kali setahun selepas kutip hasil
6 tahun NPK 12:12:17:2 (27.3 kg)+ tahi ayam (20 kg) 3-5 kali setahun selepas kutip hasil
7-15 tahun NPK 12:12:17:2 (27.3 kg) + tahi ayam (20 kg) 3-5 kali setahun selepas kutip hasil

Mencantas:

Biarkan pokok 30-45 cm dari permukaan tanah, pangkas dan biarkan tunas baru naik. Simpan 4-5 tunas sebagai dahan utama. Kemudian dahan tersebut dibiarkan mempunyai 4-5 ranting sahaja. Ini dilakukan kepada pokok yang telahpun mengeluarkan hasil, cantasan perlu dilakukan memandangkan belimbing begitu cepat mengeluarkan pucuk dan tunas baru.

Bagi kaedah menggunakan sistem pepara, dahan-dahan diikat pada kayu sokong yang dicondongkan supaya ia memanjat sehingga sampai ke para-para setinggi 6 kaki yang dipasang di atas. Kaedah seperti ini dilakukan untuk memudahkan kerja-kerja memangkas, membalut buah dan memungut hasil. (klik sini untuk lihat proses cantasan/pangkasan pokok) !

Pengurusan Air:

Pengurusan air yang berkesan dapat mengurangkan kematian pokok pada peringkat awal pertumbuhan pokok. Terdapat dua jenis sistem pengairan yang boleh digunakan untuk tanaman belimbing iaitu sistem pengairan titis dan sistem pengairan penyembur. Pemilihan jenis sistem pengairan bergantung kepada kedapatan sumber air, kualiti air, bentuk muka bumi, topografi, perbezaan aras tinggi dan terendah serta modal kos pembangunan.


Perbandingan sistem pengairan titis dan pengairan penyembur:

Pengairan Titis


Kebaikan Keburukan
Kos pembangunan antara RM7,000-RM8,000 sehektar.
Kos operasi dan penyelenggaraan rendah.
Kecekapan pengairan tinggi (95%).
Sistem memerlukan jumlah tekanan
Penyebar mudah tersumbat
Jangkamasa operasi panjang.
Penyeliaan sistem rumit.


Pengairan Penyembur
Kebaikan Keburukan
Kepala penyembur jarang tersumbat.
Jangkamasa operasi singkat.
Penyeliaan sistem mudah.

Kos pembangunan tinggi antara RM13,00-RM14,000 sehektar.
Kos operasi & Penyelenggaraan tinggi RM500/hektar/tahun.
Kecekapan pengairan rendah (60%).
Sistem memerlukan jumlah tekanan dan kadar alir air yang tinggi.


Pengairan untuk tanaman belimbing selalunya dibuat pada sebelah pagi dan petang, ini adalah untuk mengelakkan perwapan yang berlaku di waktu tengahari, meningkatkan kecekapan pengairan dan menentukan supaya air yang dibekal bukan air panas yang terkena kepada cahaya matahari. Jangkamasa pengairan setiap hari bergantung kepada keluasan zon akar, faktor tanaman, keupayaan pegangan air bagi tanah, jumlah penyebar setiap pokok, kadar alir air setiap penyebar, cuaca dan peringkat pertumbuhan pokok. Pengairan perlu dikawal pada peringkat matang pokok untuk merangsang pembungaan.

Membungkus buah:

Buah perlu dibungkus untuk mendapatkan kualiti yang baik. Juga dapat mengelakkan daripada diserang lalat buah dan perosak-perosak lain serta mengelakkan kerosakan ketika buah diangkut ke rumah pembungkusan. Buah belimbing mula dibungkus pada peringkat empat minggu selepas berputik. Membungkus pada peringkat ini memberikan peratus kejayaan pembentukan dan pembesaran buah lebih daripada 90%.. Buah yang dipilih untuk dibungkus berbentuk lurus, bersih dari titik-titik hitam atau tanda-tanda sengatan. Buah yang dibungkus juga adalah lebih besar, lebih menarik dan berkilat daripada buah yang tidak dibungkus.

Mengutip Hasil:

Belimbing adalah tanaman tidak bermusim tetapi ada 3-5 kali hasil yang banyak dalam setahun. Jangka masa dari bunga berkembang hingga masak ialah 2 1/2 bulan. Buah mestilah dibalut bila berukuran 2-4 cm panjang. Buah boleh masak dalam masa 40-60 hari. Kerja-kerja memetik mestilah dijalankan pada awal pagi. Tempoh yang dilarang mengutip hasil selepas semburan akhir racun perosak adalah seperti berikut:-


Racun Perosak Tempoh Dilarang Tuai

Malathion
Fenthion
Cypermethrin
Tiademefon
Racun berunsur kuprum
Glufosimate-amonium 7
14
5
30
-
14


Pemasaran:

Untuk tujuan pemasaran, dari segi buah hendaklah dijaga supaya tidak rosak kerana ianya mudah diserang penyakit dan cepat menjadi busuk. Buah boleh diisi ke dalam kotak atau bakul dan disusun di antara 4-5 lapisan. Buah belimbing boleh dipetik apabila didapati masak 75%. Warna buah menjadi kuning. Ianya tahan 1-2 minggu jika disimpan didalam suhu bilik 24oC-35oC dalam suhu 5oC. Ianya boleh disimpan selama 5 minggu tanpa kerosakan pada rasa dan kualiti.


INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH BELIMBING

Indeks warna belimbing telah dibentuk mengikut peringkat kematangan tertentu yang boleh digunakan sebagai indeks kematangan. Warna kulit dikelaskan kepada 7 jenis seperti berikut:-

Indeks warna 1 :
Keseluruhan buah hijau gelap
Indeks warna 2 : Buah berwarna hijau muda berkilat
Indeks warna 3 : Buah berwarna lebih hijau daripada kuning
Indeks warna 4 : 50% bahagian buah berwarna hijau dan 50% kuning
Indeks warna 5 : Buah berwarna lebih kuning daripada hijau
Indeks warna 6 : Keseluruhan buah berwarna kuning
Indeks warna 7 : Keseluruhan buah berwarna kuning oren

Bagi varieti B10, buah pada indeks warna 1 masih belum matang dan tidak sesuai untuk dituai dan dipasarkan. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa yang masam dan kelat. Buah yang dipetik pada warna 2 dan 3 sesuai dipetik untuk dieksport melalui kapal laut. Buah yang dipetik pada indeks warna 4 dan 5 mempunyai warna lebih kuning dan sesuai untuk dieksport melalui udara. Buah pada indeks warna 6 tidak digalakkan untuk dieksport, walaupun masih boleh dieksport melalui udara, kerana buah sudah terlalu masak dan tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, buah pada indeks warna 6 dan 7 adalah paling manis dan berjus.

Pokok belimbing berbuah tidak bermusim dan penuaiannya boleh dilakukan 4-6 kali setahun. Penuaian varieti B10 dilakukan dengan tangan selepas 60-65 hari dari peringkat berputik ketika buah mencapai peringkat indeks warna 2. Buah biasanya dibalut dengan beg pembungkus lebih kurang 4 minggu selepas berputik dan saiznya mencapai 5-6 cm. Beg pembungkus daripada kertas surat khabar diberi kod warna untuk memudahkan penuaian. Belimbing biasanya dipetik dengan tangan secara menarik buah yang berbungkus daripada ranting. Buah yang masih berbungkus disusun dengan cermat secara berbaring di dalam bakul plastik dan diletakkan di tempat redup sementara menunggu untuk diangkut ke rumah pembungkusan.


Pengenalan dan Gred Saiz

Gred Ketentuan Kelonggaran
(% maksimum)
1 Kandungan bahan pepejal larut > 8 Birx:
Seragam indeks warna
Kesegaran
Kerosakan
Kecacatan (cacat rupa, cacat bentuk, kotor)
Saiz yang seragam (berat > 200 gm)
5
5
5
10
5
2 Seragam indeks warna
Kesegaran
Kerosakan
Kecacatan (cacat rupa, cacat bentuk, kotor)
Saiz yang seragam 120-200 gm) 5
5
10
15
5


PENYAKIT TANAMAN BELIMBING SERTA CARA KAWALANNYA

Mati rosot dahan (Cephaleuros virescens)
Disebabkan oleh Cephaleuros virescens, sejenis alga yang menyerang daun, batang dan buah. Ia merebak melalui angin. Alga ini boleh menyebabkan batang bengkak, retak dan seterusnya daun gugur serta mati rosot pada batang. Jangkitan pada daun tidak penting kerana ia hanya menyerang pada lapisan luar sahaja. Bahagian pucuk yang diserang diselaputi dengan tompok-tompok alga. Pangkas pokok bagi mengurangi serangan alga ini. Kawalan secara kimia dengan menggunakan racun kulat yang mengandungi kupram pada kadar yang ditetapkan (lihat proses pemangkasan pokok).


Penyakit akar putih (Rigidoporus lignosus)
Disebabkan oleh kulat Rigidoporus lignosus yang merebak melalui akar. Merbahaya dan boleh menyebabkan kematian pokok. Pokok yang diserang boleh menyebabkan daun menjadi layu, kering dan gugur. Akar-akar yang dijangkiti akan kelihatan bebenang kulat atau rizomof yang berwarna putih di permukaannya. Cara jangkitan ialah dari akar ke akar melalui bebenang kulat. Akar yang diserang hendaklah dibuang dan siram tanah keliling dengan racun kulat disirim dengan racun jenis sistemik seperti tridemorf atau triademenol. Jika serangan teruk, pokok hendaklah dicabut dan dibakar bersama akar-akar yang berpenyakit.


Bintik Daun (Cercospora averrhoae)
Disebabkan oleh Cercospora averrhoae. Kulat ini menyerang daun dan kerap berlaku apabila keadaan lembab. Tanda awal serangan ialah bintik-binti kecil nekrotik pada daun dan bintik-bintik ini akan bercantum menjadi besar. Bahagian tengah bintik berwarna putih kelabu manakala bahagian tepi gelap dan dikelilingi oleh tisu klorotik. Serangan teruk boleh menyebabkan daun muda gugur. Sembur dengan racun kulat yang mengandungi kupram atau mancozeb.


Daun berumpun dan kerekot (bunchy and mainformed top)
Cladosporium oxysporum dan interaksi dengan kutu thrip)
Serangan berlaku pada betik eksotika. Pucuk daun yang diserang kelihatan cacat dan terdaapt bintik daun serta bintik berlubang. Pada daun tua kelihatan bintik perang dan daun kelihatan kerekot. Pokok kelihatan bantut dan menjadi kecil. Sebur dengan racun kulat seperti mancozeb dan sembur racun serangga bagi kawalan kutu trip.



SERANGGA PEROSAK

Lalat buah
Perosak utama buah belimbing dan perosak yang sukar dikawal. Buah belimbing muda rentan terhadap serangan lalat buah dalam tempoh 2-3 minggu selepas peringkat buah berputik. Bungkus buah kerana selepas waktu ini lalat buah betina mula bertelor. Tanda buah yang disengat ialah bintik hitam pada buah hijau dan coklat atau lebam pada buah masak.

Pengusaha dinasihatkan memusnahkan buah-buah yang tidak dibalut (atau tidak diperlukan) di atas pokok dan juga buah-buah yang rosak dan jatuh ke tanah bagi mengurangkan perumah lalat buah. Jika tidak lalat buah ini akan membiak di dalam buah tersebut dengan cepat. Pembungkusan hendaklah dijalankan pada 2-3 minggu selepas pembentukan buah. Racun serangga (fenthion atau cypermethrin) juga digunakan untuk mengawal lalat tetapi penggunaan secara terus ke atas buah hendaklah dielakkan demi untuk menghindarkan kesan sisabaki berlebihan. Semburan umpan protin (campuran protin hydrolysate dan racun serangga) atau perangkap lalat jantan menggunakan bahan penarik juga boleh diamalkan.


Ulat bunga
Larva ulat ini mengorek bunga dan putik buah. Serangan yang teruk boleh merosakkan keseluruhan jambak bunga dan akibatnya buah tidak terbentuk. Putik buah yang diserang akan gugur. Apabila menjadi wabak, sekali semburan dengan racun serangga seperti cypermethrin dan malation adalah memadai kerana jika berlebihan akan memberi kesan buruk kepada serangga pendebungaan.


Ulat lymantriid
Larva menyerang bahagian bunga dan permukaan kulit buah tanpa mengorek ke dalam isi. Serangan selalu terjadi keatas buah muda yang tidak dibungkus. Boleh dikawal dengan parasitoid larva.


Ulat buah
Larva menyerang buah muda yang tidak dibungkus. Juga menyerang daun hijau yang matang. Larva menyerang lapisan kulit luar daun dan menyebabkan bahagian itu menjadi kering dan coklat. Buah yang diserang hendaklah dibuang semasa pembungkusan buah. Sebelum membungkus buah, sekali penyemburan dengan eltametrin atau metamidofos 0.05% adalah memadai.


Pengorek batang
Serangga bertelur di celah-celah rekahan kulit batang. Larva yang menetas mengorek batang dan menyerang permukaan kulit. Larva seterusnya membentuk terowong dan liang-liang. Kepompong terjadi di lorong dalam batang dan akan bergerak ke liang sebelum serangga dewasa terjadi. Racun serangga (metamidofos) disuntik ke dalam liang dan kemudian disumbat dengan tanah bagi mengelakkan larva keluar.

PEMBUNGKUSAN DAN PERLABELAN

Pembungkusan
Buah belimbing dari gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan.


Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:- Tarikh, nama/kod penanaman, nama/kod pengeksport, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran syarikat, alamat, komoditi, berat bersih dan gred.

PERSAMPELAN

Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 78:1973 Method of Sampling Fresh Fruits, atau kaedah statistik yang dipersetujui.

PENGENDALIAN PASCATUAI

Bungkusan buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bakul yang sedia dibawa oleh pemetik ke pusat pengumpulan sementara. Di sana, pembalut dan buah tidak ditanggalkan dan disusun rapat ke dalam bakul plastik atau kotak kertas beralun. Ini dapat mengurangkan geseran yang terjadi antara kertas kering dan sading buah. Buah-buah disusun secara terbaring pada garis panjang. Setiap lapisan buah dialas dengan kertas. Kaedah ini sesuai untuk pengangkutan buah ke tempat yang dekat.

Buah belimbing yang dipasarkan perlu dikendalikan dalam bangsal atau tempat pembungkusan yang sesuai. Rumah pembungkusan perlu ada ruang untuk aktiviti pemilihan, penggredan, membuat rawatan, bilik sejuk dan stor untuk menyimpan kotak dan peralatan. Buah digred mengikut piawaian SIRIM. Buah belimbing untuk dieksport mestilah segar iaitu dibungkus dalam tempoh 24 jam selepas dipetik. Pembungkusan adalah perlubagi menjamin mutu buah agar sentiasa berkeadaan pejal, kulit tidak bertukar warna dan buah tetap berwarna hijau ketika dipasarkan. Terdapat 3 cara pembungkusan untuk pasaran eksport iaitu,

buah dibungkus dengan filem regang jenis poliner klorida (PVC)

buah dibungkus dengan kertas tisu

buah dibungkus dengan polystyrene net

Buah yang telah dibungkus disusun di dalam kotak yang disedia khas. Kotak-kotak yang telah diisi hendaklah diasingkan kepada lot-lot mengikut kelas saiz besar, sederhana dan kecil dan disimpan dalam bilik sejuk untuk tujuan eksport.

KEGUNAAN BUAH BELIMBING

Selain jadi pencuci mulut, belimbing boleh dijadikan penawar kepada beberapa jenis penyakit. Bagi orang Melayu, buah belimbing dikatakan elok dimakan oleh pesakit darah tinggi, sama ada dimakan begitu sahaja atau dibuat jus. Ada juga yang minum air rebusan daun belimbing untuk menurunkan tekanan darah tinggi.

Di India, buah belimbing yang matang digunakan untuk menghentikan pendarahan dan meredakan penyakit buasir berdarah. Buah yang dikeringkan atau air buah pula dimakan sebagai penawar demam. Jika terkena cirit-birit, jem belimbing dikatakan boleh meredakannya. Manakala salap daripada buah belimbing digunakan untuk melegakan penyakit mata.

Di Brazil, belimbing disyorkan sebagai 'diuretik' (bertindak untuk melancarkan pengeluaran air kencing) bagi pesakit buah pinggang dan pundi kencing. Ia juga dipercayai dapat meredakan gatal-gatal kulit yang mengalami ekzema. Dalam perubatan Cina, belimbing dikatakan bertindak untuk menghilang dahaga, meningkatkan perembesan air liur dan melegakan demam.

Air rebusan buah dan daun belimbing boleh diminum untuk menghilangkan rasa mual dan loya muntah. Daun-daun yang diikat pada pelipis pula dapat melegakan sakit kepala. Cacar air dan kurap juga dikatakan dapat dirawat dengan daun belimbing. Caranya, daun dan pucuk belimbing dihancurkan dan dituam pada cacar air dan kurap tersebut. Juga dipercayai bunga belimbing boleh dijadikan ubat cacing.

Di sesetengah tempat di Asia Tenggara, mereka menggunakan bunga belimbing untuk mengurangkan radang kulit bagi pengidap dermatitis (kulit kemerah-merahan dan mengelupas). Bunga belimbing digosok-gosokkan pada kulit yang terkena jangkitan tersebut. Air rebusan biji belimbing yang dihancurkan pula, dikatakan dapat menggalakkan pengeluaran susu dan melancarkan haid. Namun begitu, air rebusan ini hendaklah diminum sedikit sahaja kerana ia agak memabukkan. Ada juga yang menggunakan serbuk biji belimbing sebagai ubat penenang bagi penyakit lelah dan kembung.

Mengikut Burkill, 'kulit dalam' pokok belimbing yang diadun bersama kayu cendana dan Alyxia sp., boleh disapu pada ruam panas. Manakala akar belimbing yang diadun bersama gula, dikatakan boleh menawarkan racun. Daun, batang dan akar belimbing didapati mengandungi asid hidrosianik.

KEGUNAAN BELIMBING BULUH

Di Filipina, daun belimbing buluh digunakan sebagai pes untuk dituam pada bahagian badan yang mengalami gatal-gatal, bengkak, penyakit beguk dan reumatisme. Pada sesetengah tempat, pes daun belimbing buluh atau daun yang dihancurkan dijadikan penawar bagi gigitan binatang yang berbisa dan beracun.

Orang-orang Melayu dahulu, menggunakan daun yang segar atau yang diperam, untuk merawat penyakit kelamin. air rendaman daun belimbing ini juga dikatakan berkesan untuk melegakan batuk dan penyakit seriawan. Selain itu, air rendaman daun ini dipercayai boleh dijadikan tonik untuk wanita lepas bersalin. Penyakit radang dubur (rectal inflammative) juga dapat dikurangkan apabila air rebusan daun ini diminum.

Di Jawa, buah belimbing buluh yang dicampur dengan lada sulah, dimakan untuk mengeluarkan peluh apabila badan merasa kurang sihat. Apabila baru lepas demam, pes buah belimbing buluh jeruk, dilumur ke seluruh badan supaya cepat sembuh dan untuk mengembalikan kesegaran badan. Jem buah belimbing ini pula boleh dijadikan ubat batuk, penyakit beri-beri dan 'biliousness' (fungsi hati yang terganggu atau terlebih hempedu).

Buah belimbing buluh juga boleh dijadikan siap dan ia baik untuk melegakan demam, menghentikan pendarahan dubur dan meredakan penyakit buasir dalaman.

No comments:

Post a Comment